JHEAINS TAHAN 18 WANITA TERLIBAT KEGIATAN AJARAN SESAT

SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menahan 18 wanita kerana disyaki terlibat dengan kegiatan ajaran sesat Kumpulan Zikir Asmaul Husna menerusi serbuan di sebuah rumah di Johol, Kuala Pilah semalam. 

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS Ahmad Zaki Hamzah berkata kesemua mereka yang berumur antara 20 hingga 60 tahun ditahan ketika sedang mendengar kuliah yang disampaikan pengasasnya ketika serbuan pada pukul 9.30 pagi.

Beliau berkata dalam serbuan itu beberapa dokumen dan peralatan yang dipercayai digunakan kumpulan berkenaan turut dirampas untuk tujuan siasatan termasuk buku digunakan untuk ajaran itu.

“Pengikut ajaran ini kebanyakan terdiri daripada suri rumah dan ada yang tinggal di negeri ini dan luar negeri selain dipercayai direkrut melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram. Kita percaya masih ramai lagi pengikut kumpulan ini dan ia masih disiasat.

Ajaran itu pernah difatwakan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan pengasasnya telah dipanggil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta membuat perisyhtiharan taubat pada Feb 2021,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan pemantauan, JHEAINS mendapati ajaran itu masih diteruskan oleh pengikutnya di rumah pengasasnya di Johol selain bergerak dalam kumpulan kecil.

“Kita percaya ajaran ini mempunyai banyak pengikut di seluruh negara, dan didapati mereka juga cuba mengembangkan ajaran ini ke Indonesia berdasarkan penemuan dokumen memorandum persefahaman dengan institusi pendidikan atau pesantren (sekolah pondok) di sana,” katanya.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 dan Seksyen 53 Enakmen yang sama.–AlHijrah Online

Leave a Reply