JOE BIDEN, KAMALA HARISS: HARAPAN BARU BUAT AMERIKA SYARIKAT

Sumber Gambar: CNN

WASHINGTON: Joe Biden semalam mengangkat sumpah sebagai Presiden AS ke-46, menggantikan Donald Trump. Turut mengangkat sumpah, Naib Presiden, Kamala Harris.

Upacara mengangkat sumpah jawatan berlangsung dengan aman di bangunan Capitol meski pun lokasi berkenaan huru hara 6 Januari lalu, ekoran rusuhan dan pencerobohan oleh penyokong Trump.

Lazimnya upacara angkat sumpah ini dihadiri ratusan ribu rakyat, namun pada tahun ini, situasi jelas berbeza berikutan ancaman COVID-19, yang memaksa majlis berlangsung tanpa kehadiran ramai orang.

25,000 anggota pasukan keselamatan dikerah untuk memastikan acara gilang gemilang itu berjalan lancar meskipun wujud khabar angin bahawa akan berlakunya situasi kacau bilau di bandar-bandar utama oleh penyokong Trump.

Sementara itu, Kamala Harris, 56 tahun mencatat sejarah sebagai wanita pertama yang memegang jawatan Naib Presiden AS.

Beliau juga rakyat Amerika kulit gelap berketurunan Asia selatan pertama yang memegang jawatan kedua tertinggi dalam pentadbiran White House.

Ciapan di Twitternya mengesahkan keterujaan beliau sebagai Naib Presiden yang baharu.

Sementara itu bekas Presiden, Barack Obama turut mengucapkan tahniah ke atas Biden di atas pelantikannya sebagai Presiden.

Dalam ucapan sulungnya, Biden menyeru agar rakyat negara itu kembali bersatu dan memulihkan negara itu.

“Kita akan memimpin bukan hanya sekadar teladan menggunakan kekuatan, tetapi daripada kekuatan teladan yang ditunjukkan,” kata Biden.

Biden turut berikrar untuk menjadi Presiden kepada seluruh rakyat AS.

Sementara itu, selepas selesai acara angkat sumpah, Biden buat pertama kalinya memasuki White House untuk memulakan tugasan rasmi pertama.


Biden menandatangani 15 perintah eksekutif yang akan membatalkan beberapa dasar pentadbiran Trump, antaranya menarik balik larangan perjalanan bagi orang Islam dari negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.—AlHijrah Online

Leave a Reply