Jual MyKad mungkin berlaku di negeri lain

GEORGETOWN – Kegiatan sindiket penjualan MyKad dan sijil kelahiran sah yang didalangi pegawai kanan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dipercayai sudah lama dijalankan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran berkata, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan terperinci berhubung kes berkenaan termasuk kemungkinan wujud penglibatan di beberapa peringkat dalam agensi berkenaan.
“Mungkin sindiket ini sudah lama beroperasi dan wujud beberapa lapisan dalam sindiket tersebut, sebab itu polis perlu menjalankan siasatan secara terperinci,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Seminar Keselamatan Antarabangsa Kelima di sini hari ini.
Narenasagaran berkata, polis juga tidak menolak kemungkinan kegiatan penjualan MyKad dan sijil kelahiran sah itu turut berlaku di negeri lain.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan polis melancarkan operasi sulit dan berjaya menahan beberapa individu yang dipercayai sudah menjual lebih enam keping MyKad sah membabitkan nilai RM350,000.
Seramai enam lelaki termasuk seorang berpangkat datuk dan seorang Penolong Pengarah JPN sebelum ini didakwa dengan 32 pertuduhan menjual MyKad sah kepada warga asing.
Dalam fasa pertama Op Biru, polis menahan 20 individu susulan pembongkaran seorang warga China yang cuba memohon pasport menggunakan MyKad sah di Jabatan Imigresen (JIM) Pulau Pinang pada 16 Mei lalu. – SINAR HARIAN