KANAK-KANAK 11 TAHUN DISERANG ANJING

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak cedera di badan dan kepala selepas digigit anjing liar di kawasan perumahan di Seksyen 2, Wangsa Maju, petang semalam.
Kejadian berlaku semasa mangsa, Syauqina Rifqa Sarnizam, 11, pulang dari sekolah agama sesi petang.
Ibu mangsa, Norhafizah Abdul Ghafar berkata anaknya digigit anjing liar selepas mangsa cuba menghalau anjing yang menghampiri kawasan arnab peliharaan anaknya.
“Anak saya sudah sampai di depan rumah selepas balik sekolah dan saya terdengar bunyi anjing menyalak.
“Anak saya bagitahu dia ingin pergi menghalau anjing yang datang ke kawasan sangkar arnab peliharaan kami tetapi saya tidak benarkan dan meminta dia tunggu saya datang sekali,” katanya.
Bagaimanapun, ibu Syauqina Rifqa terdengar jeritan mangsa sebelum mendapati anaknya itu tertiarap dengan dua anjing liar berkenaan.
“Saya cuba halau, tetapi anjing itu tetap berada di situ dan hanya pergi selepas suami saya menghalau dan mengejar anjing-anjing berkenaan,” tambahnya.
Dalam pada itu, kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kepala, lengan kiri, betis kaki kanan dan bahagian belakang badan.
Jiran mangsa bertindak untuk membawa kanak-kanak tersebut ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan sebelum dipindahkan ke Hospital Gleneagles Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan lanjut.—AlHijrah Online