Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

KANAK-KANAK 2 TAHUN MAUT TERJATUH DARI KERUSI BAYI

DALAM NEGARA

KANAK-KANAK 2 TAHUN MAUT TERJATUH DARI KERUSI BAYI

Siasatan awal mendapati kanak-kanak itu menolak meja menggunakan kakinya dan menyebabkannya terjatuh bersama kerusi bayi berkenaan.

Gambar fail

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia setelah jatuh dari kerusi bayi di sebuah restoran dekat Taman Sutera di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa dikatakan sedang makan bersama keluarganya di restoran berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah, berkata siasatan awal mendapati kanak-kanak itu menolak meja menggunakan kakinya dan menyebabkannya terjatuh bersama kerusi bayi berkenaan.

“Ketika terjatuh, kepala kanak-kanak itu terhentak pada lantai dan mangsa dikatakan menangis sebelum pengsan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, ayah kanak-kanak itu membawanya ke klinik swasta namun dinasihati doktor untuk dihantar terus ke hospital memandangkan keadaannya agak serius.

“Bapa kanak-kanak itu kemudian membawanya ke sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas,” katanya.

Tambah beliau, mayat kanak-kanak itu dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

“Sehingga kini tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan.

Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.-AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading