KEBENARAN MERENTAS NEGERI BERGANTUNG PADA ENAM PETUNJUK – ADHAM BABA

Sumber Gambar: EDISI 9 / Mohd Naim Aziz

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membentangkan enam petunjuk bagi menentukan masa sesuai bagi aktiviti merentas negeri.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba, enam petunjuk berkenaan adalah situasi kes positif harian, kes sembuh dan discaj, trend dan kadar kes kebolehjangkitan, kadar jumlah kematian, keupayaan katil dan unit rawatan rapi (ICU) serta situasi semasa petugas kesihatan.

“KKM berharap ia dapat dipenuhi terlebih dahulu sebelum perjalanan rentas negeri dibenarkan,” katanya dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Dalam pada itu, Dr Adham memaklumkan kementerian mengambil kira serta meneliti pandangan pakar terlebih dahulu sebelum aktiviti rentas negeri dibenarkan selepas minggu kedua Aidilfitri, selepas majoriti kumpulan rentan menerima suntikan vaksin.

“Buat masa ini, belum ada sebarang keputusan muktamad dibuat mengenai masa sesuai untuk membenarkan perjalanan rentas negeri,” katanya.

Tambahnya, perkara berkenaan akan dibawa kepada kerajaan serta pakar kesihatan bagi memastikan ianya tidak menjurus jangkitan dan penularan baharu.—AlHijrah Online

Leave a Reply