LEE ZII JIA, PEWARIS LEGENDA BADMINTON MALAYSIA

Sumber Gambar: AFP

KUALA LUMPUR: Tidak mustahil bagi juara perseorangan lelaki All England, Lee Zii Jia untuk menjejaki legasi pemain badminton legenda negara seperti Datuk Misbun Sidek, Datuk Lee Chong Wei dan tokoh sukan negara lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Albakri yang turut sama menonton perlawanan akhir antara Zii Jia dengan Viktor Axelsen malam semalam waktu Malaysia berkata, persembahan pemain badminton kelahiran Kedah itu berjaya mempamer semangat kesukanan serta motivasi tinggi berkelas dunia.

Zii Jia merangkul kejuaraan Seluruh England (All England) selepas menundukkan pemain nombor dua dunia dari Denmark, Viktor Axelsen dengan kemenangan 30-29; 20-22; 21-9.

Zii Jia terlebih dahulu menang di set pertama, sebelum Axelsen bangkit di set kedua sekali gus membawa permainan ke rubber game.

Axelsen akhirnya tunduk kepada Zii Jia, pemain nombor 10 dunia dengan mata 9-21 pada set penentuan.

Kemenangan Zii Jia memberikan sinar semula dalam arena badminton setelah kali terakhir Malaysia menjuarai All England pada 2017 menerusi Chong Wei.

Kemeriahan pasti lebih luar biasa jika stadium penuh dengan sorakan peminat, kedai makan dan restoran penuh dengan pelanggan yang ramai untuk bersama menonton detik-detik kegemilangan tersebut.

Zulkifli turut optimis Zii Jia akan menjadi pemain badminton ulung, sebagaimana ramai lagi yang telah mengharumkan nama negara berulang-ulang kali pada masa hadapan.

“Permainan yang cemerlang dan penuh strategi yang dipamerkan Lee Zii Jia tadi memberikan gambaran positif yang beliau mampu menempa nama sebagai pemain legenda yang akan mengharumkan negara berulang kali lagi kelak pada masa hadapan.”

Selain Zii Jia dan Chong Wei, pemain perseorangan negara yang pernah menjuarai All England adalah Muhammad Hafiz Hashim pada tahun 2003.–AlHijrah Online

Leave a Reply