RAUB: Polis telah menahan ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui petang tadi, kerana menghalang penjawat awam daripada menjalaskan tugas semasa ‘Op Sekat’, di kebun durian di sini minggu lalu.
Menurut hantaran di Facebooknya, beliau ditahan bersama seorang pengusaha kebun durian yang juga Pengerusi Save Musang King Alliance (SAMKA), Wilson Chang.
“Ahli Parlimen Raub YB Chow Yu Hui dan Pengerusi SAMKA, Wilson Chang disahkan oleh peguam bahawa ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan: ‘Menghalang penjawat awam pada menjalankan kerja-kerja jawatannya’.”
“Kami akan terus memantau perkembangan kes ini dan akan mengemaskinikan maklumat terkini melalui Facebook dan media secepat mungkin,” katanya.
Terdahulu, wakil rakyat DAP itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub bersama Chang kira-kira jam 4 petang tadi bersama peguam masing-masing.
Polis semalam mengesahkan Yu Hui bersama empat individu lain telah dipanggil untuk memberi keterangan atas dakwaan menghalang tugas penjawat awam ketika ‘Op Sekat 3.0’.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub Supt Mohd Shahril Abd Rahman memaklumkan sebanyak 22 laporan polis diterima pihaknya sehingga kini berhubung operasi penguatkuasaan yang menyasarkan pekebun durian haram itu.
Katanya, laporan itu dibuat oleh individu serta badan bukan kerajaan yang menzahirkan sokongan terhadap tindakan penguatkuasaan diambil oleh kerajaan negeri terhadap kebun durian tidak berlesen itu.—AlHijrah Online