KEMATIAN DICEMBURUI, PESARA TENTERA MENINGGAL DUNIA DALAM SOLAT

SUNGAI BULOH: Seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) meninggal dunia semasa menunaikan solat Isyak berjemaah di Masjid An Nur, Saujana Utama, di sini pada Isnin malam.

Difahamkan Allahyarham Yusri Taib, 51 tahun, sempat melafazkan kalimah ‘Allah’ sebelum rebah semasa dalam rakaat pertama solat Isyak dan disahkan meninggal dunia di dalam masjid tersebut.

Dalam satu hantaran seorang pendakwah di Facebook, Pahrol Mohamad Juoi yang turut berada semasa kejadian memaklumkan, jemaah masjid terus kepada mangsa selepas selesai solat dan memberi pertolongan cemas.

“Beliau tidak sedarkan diri. Tangan dan tubuhnya longlai sekali. Ketika doktor menekan dadanya berkali-kali untuk membantu proses bernafas, beliau terus lemah.

“Setelah tubuhnya yang tidak berdaya diusung ke belakang, doa tahlil serta solat Tarawih diteruskan. Usai solat Tarawih dengan diikuti solat witir, pengumuman dibuat yang mengatakan ahli jemaah telah pun meninggal dunia,” katanya.

Ujar Pahrol, pemergian Allahyarham sangat dicemburui kerana meninggal dunia di dalam masjid, semasa di dalam solat selain berada di dalam bulan Ramadan.

Sementara itu, isterinya Safaridah Mat Jonet, 52, mengetahui pemergian suaminya selepas beberapa jemaah datang ke rumahnya.

Menurutnya, dia berjumpa buat kali terakhir dengan suaminya semasa Allahyarham bersiap untuk masjid.

“Allahyarham rajin melaksanakan ibadah dan amat menjaga solat sementara kerap hadir ke masjid.

“Arwah seorang yang tidak melengahkan solat dan biasanya ke masjid setiap kali solat Subuh dan Maghrib, manakala mengerjakan solat sunat tarawih sepanjang Ramadan ini,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.—AlHijrah Online

Leave a Reply