KENAPA NGO MALAYSIA TERUS HULUR BANTUAN DI AFGHANISTAN?


Awal minggu ini, kita dikejutkan dengan tragedi kepala air dan banjir di Baling, Kedah yang mengorbankan tiga nyawa. Tapi situasi itu tidak menyekat masyarakat sivil Malaysia untuk membantu kelompok memerlukan di serata dunia, termasuk di Afghanistan yang dilanda gempa bumi pada 22 Jun lalu, menyaksikan lebih 1,000 nyawa terkorban.
Itulah betapa besarnya jiwa rakyat Malaysia, tulang belakang di sebalik dana-dana yang disalurkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan, sekalipun saat ini kita juga diuji dari sudut kestabilan politik dan ekonomi pasca COVID-19.
Jauh dari radar media massa, ada NGO yang sudah berbulan-bulan berada di negara konflik itu menghulurkan bantuan kemanusiaan dari sekecil-kecil roti hinggalah yang melakukan bantuan jangka panjang untuk warga Afghanistan.

Ada juga inisiatif membuka pusat kemanusiaan bantuan dari Malaysia berpusat di Kabul dengan matlamat koordinasi bantuan kepada lebih 24 juta warga Afghanistan (lebih separuh populasinya) yang memerlukan bantuan asing.
Program Makanan Sedunia (WFP) menyatakan “satu daripada tiga warga Afghanistan dalam keadaan lapar”. Itulah betapa teruknya keadaan di negara konflik itu dari sudut kemanusiaan.
Selaku antara individu dalam kumpulan NGO pertama dari Malaysia yang tiba di Kabul pada pertengahan September tahun lalu, penulis boleh menyimpulkan tidak banyak perubahan yang berlaku di negara itu sejak pertukaran kerajaan kira-kira 10 bulan lalu.

Tidak keterlaluan jika penulis menyimpulkan yang situasi sebenarnya semakin melarat di negara itu ekoran sekatan ekonomi yang masih dikenakan ke atas kerajaan Emeriyah Islam Afghanistan yang setakat ini, tidak diiktiraf mana-mana negara.
Inflasi dan kenaikan harga barangan di Afghanistan berada pada tahap melampau. Situasi yang bertitik tolak dari ‘hukuman kolektif’ kuasa-kuasa barat ke atas kerajaan semasa Afghanistan, sebenarnya menekan majoriti rakyat negara itu.
Setahun lalu, misalnya, harga minyak masak adalah sekitar 50 Afghani (RM2.50) kini naik tiga kali ganda kepada 150 Afghani (RM7.50).
Tentunya bila mendengar tentang minyak masak di Afghanistan ini, kita juga merasa sensitif dengan isu penarikan subsidi minyak masak botol dan isu minyak paket bersubsidi di negara kita yang semakin sukar diperolehi sekalipun kerajaan menegaskan sebaliknya.
Mungkin berbeza di Malaysia, hampir kesemua barangan keperluan di Afghanistan meningkat dengan ketara akibat tekanan dan sekatan ekonomi ke atas Emeriyah Islam Afghanistan menjadikan ramai rakyatnya jatuh dalam kepompong kemiskinan dan kepapaan.

Penguncupan sektor kerajaan, khususnya membabitkan golongan wanita yang dilaporkan dikekang penyertaan mereka dalam perjawatan awam, tentunya memburukkan keadaan ekonomi sebahagian isi rumah di Afghanistan.
Sebelum Emeriyah Islam Afghanistan (baca Taliban) mengambil alih Afghanistan pada 15 Ogos 2021 susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) keluar dari Kabul yang menyaksikan tumbangnya kerajaan pimpinan Presiden Ashraf Ghani, majoriti rakyat Afghanistan sebenarnya sudah miskin dan tertekan.
Hakikatnya, majoriti rakyat Afghanistan, di bawah 20 tahun pemerintahan kerajaan Republik Islam Afghanistan yang disokong kuasa barat, berada di bawah paras kemiskinan dengan pendapatan kurang USD2 sehari.
Kerajaan dulu terlalu bergantung kepada dana dan sokongan asing sehinggakan ia tidak lagi mampu berdiri sendiri selepas AS angkat kaki dan keadaan menjadi lebih teruk dengan pembekuan berbilion dolar aset Bank Pusat Afghanistan dan sekatan ekonomi.
Sejak September 2021, masyarakat sivil Malaysia melalui beberapa NGO tidak putus-putus menyalurkan bantuan kemanusiaan walaupun negara ini secara rasminya, mengambil sikap “tunggu dan lihat” dalam isu percaturan politik di Afghanistan.

Sekurang-kurangnya 10 NGO Malaysia yang telah dan dalam usaha menyalurkan bantuan ke Afghanistan antaranya Yayasan Amal Malaysia (YAM), MyCare, Mercy Malaysia, MRA, IMARET, GPM, MVM, Pertubuhan Ikatan Kekeluargaan Rumpun Nusantara (HARUM) dan Afghan Relief Malaysia (ARM).
“Dari sudut kemanusiaan Afghanistan perlu dibantu masyarakat dunia,” kata Norazam Ab Samah, yang mengetuai Misi Kemanusiaan Mercy Malaysia ke lokasi ground zero gempa bumi di Khost, kira-kira lima jam perjalanan dari Kabul.
Mercy Malaysia setakat ini menyalurkan bantuan kecemasan, termasuk khemah dan barangan dan peralatan membaiki rumah, selain turut membuka klinik bergerak di empat lokasi di Spera District, Khost, yang juga titik gempa magnitud 5.9 skala Richter pada 22 Jun lalu. (Ada laporan menyatakan gempa di tenggara Afghanistan itu mencecah 6.1 skala Richter)
“Sama seperti bencana besar lain, misi bantuan kali ini meninjau serta menilai keperluan perancangan bantuan jangka masa panjang, termasuk terhadap tempat tinggal yang berdaya tahan di kawasan gempa,” kata Norazam mengetuai pasukan lapan sukarelawan Mercy Malaysia, termasuk seorang pakar tulang, doktor, psikologis dan dua jururawat.
MRA, antara NGO Malaysia yang aktif menjalankan kerja-kerja kemanusiaan di Kabul, turut menghantar bantuan kecemasan ke lokasi terjejas, termasuk mengagihkan kit hygiene kepada 100 keluarga di Spera District, Khost, beberapa hari lalu.
Jadi kenapa NGO-NGO Malaysia terus hulurkan bantuan kepada Afghanistan? Tak lain kerana mulianya hati rakyat Malaysia, sekalipun kita ini juga sedang diuji kanan dan kiri! – AlHijrah Online
Syed Azwan Syed Ali adalah Koresponden AlHijrah Online/ Berita AlHijrah dalam isu antarabangsa dan semasa, mempunyai lebih 17 tahun pengalaman dalam bidang kewartawanan, khususnya liputan di zon konflik dan bencana.
Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.