KERAJAAN TIDAK PERNAH LEPAS TANGAN ISU INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM

GAMBAR ARKIB: AFP

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tidak pernah mengambil pendekatan lepas tangan atau meminggirkan institusi pendidikan Islam.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata sejak awal penularan COVID-19, JAKIM telah berusaha mencari jalan bagi memasti dan menjaga keselamatan warga institusi pendidikan Islam yang berada di bawah penyelarasan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pendidikan dan Pelajaran Agama Islam (LEPAI).

Ia termasuk berkerjasama dengan pihak-pihak berwajib seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Antaranya kerajaan telah mengambil langkah segera melaksanakan saringan bagi mengesan dan menyekat penularan COVID-19 dalam kalangan warga institusi tersebut.

“Kerajaan juga mengambil tanggungjawab menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memudahkan rujukan dan panduan oleh institusi yang dijangkati COVID-19.

“Kerajaan juga menyedari pentingnya pendidikan kepada murid dan pelajar di institusi tersebut dapat diteruskan. Justeru, dengan bantuan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), JAKIM telah menerbitkan Garis Panduan Pengurusan Pengoperasian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain dan Sekolah Agama Dalam Norma Baharu sebagai rujukan kepada institusi Pendidikan Islam untuk beroperasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh

Pun begitu Abdul Aziz berkata terdapat beberapa institusi Pendidikan Islam yang menghadapi kesulitan untuk meneruskan operasinya atas pelbagai sebab antaranya ialah kekangan kos pengurusan.

Jelas Abdul Aziz, JAKIM telah menyalurkan bantuan berjumlah RM60 juta kepada 1,066 buah institusi pendidikan Islam sehingga Ogos 2021.

“Selain itu, sebanyak RM244,400.00 telah disumbangan melalui Tabung Musaadah COVID-19 JAKIM-YWM. JAKIM juga pada ketika ini sedang berusaha dengan pelbagai cara bagi membantu institusi pendidikan Islam agar dapat melangsungkan operasinya demi anak bangsa.

“JAKIM menaruh harapan dan keyakinan tinggi bahawa kerajaan pada masa kini akan memberi perhatian sewajarnya terhadap semua pihak dan tidak mungkin akan meminggirkan mana-mana pihak selaras dengan slogan Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera,” katanya.

Abdul Aziz berkata demikian bagi merujuk kenyataan segelintir pihak yang membuat dakwaan bahawa kerajaan meminggirkan institusi Pendidikan Islam khususnya pondok, tahfiz dan sekolah agama sepanjang tempoh pandemik COVID-19. – AlHijrah Online

Leave a Reply