PENGANGGUR DERA DAN SOROK MAYAT KANAK-KANAK DUA TAHUN DALAM TONG IKAN DIPENJARA 8 TAHUN

PUTRAJAYA: Seorang penganggur dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, atas kesalahan menganiayai seorang kanak-kanak dua tahun dengan menumbuk serta memijak badan dan kepala mangsa.

Tertuduh, Mohd Affandi Fauzi Ramlee, 39 tahun, turut bertindak memasukkan gunting ke dalam mulut mangsa yang sudah tidak bernyawa sebelum menyorokkan mayatnya dalam sebuah tong ikan dipenuhi ais.

Memetik laporan BERNAMA, hakim menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh selepas lelaki tersebut mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan dan memerintahkannya menjalani hukuman itu bermula hari ini.

Sebelum ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas pertuduhan membunuh kanak-kanak lelaki itu, namun Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan tersebut.

Pendakwaan yang merayu terhadap keputusan itu kemudian mengemukakan pertuduhan pilihan iaitu menganiayai kanak-kanak berkenaan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 31(5)(b) akta sama, memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun.

Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah rumah di Flat Paya Nahu, Sungai Petani, Kedah pada 2 pagi antara 24 Oktober 2016 dan 24 November tahun sama.

Berdasarkan fakta kes, kanak-kanak itu bersama ibu dan kakaknya menumpang di rumah tertuduh sebelum lelaki itu mula mendera mangsa dengan menumbuk, mencubit, menjentik dan memijak badan dan kepala mangsa beberapa kali, sehingga tulang rusuknya patah.

Pada 27 Oktober 2016, lelaki itu menolak mangsa sehingga jatuh terduduk dan tersembam.

Mangsa kemudian bangun dan berjalan dua tiga langkah dan terus tersembam atas lantai dan tidak bangun.

Tertuduh menarik mangsa dan memasukkan gunting ke dalam mulut mangsa untuk menghalang mulut tertutup, bagaimanapun mangsa tidak bergerak selepas itu dan ibunya mendapati anaknya sudah keras, sejuk dan tidak lagi bernyawa.

Lelaki itu melarang ibu mangsa membawa anaknya ke hospital kerana mahu mengelak daripada siasatan polis dan tertuduh juga mengetuk kepala wanita itu dengan parang.

Keesokannya, wanita berkenaan memberitahu tertuduh bahawa ada lendir keluar daripada hidung mangsa dan berbau, lalu tertuduh menutup mayat dengan menggunakan selimut dan menyorok mayat itu di dalam sebuah tong ikan yang dipenuhi ais.

Perbuatannya tertuduh terbongkar selepas ibu mangsa meminta pertolongan jiran sebelum memaklumkan kepada polis.–AlHijrah Online

Leave a Reply