BATU CAVES: Seorang wanita terlibat dalam kemalangan selepas kereta dipandunya dihempap runtuhan binaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), di Jalan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), di sini petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sekitar jam 1:47 tengah hari tadi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang telah dikerahkan untuk operasi menyelamat mangsa.
“Setibanya di lokasi kejadian, anggota mendapati terdapat runtuhan binaan ECRL dan menghempap sebuah kenderaan model Suzuki Swift.
“Mangsa yang merupakan warga tempatan bagaimanapun telah dikeluarkan oleh orang awam setibanya anggota bomba di lokasi,” katanya.—AlHijrah Online