KES COVID-19 MENINGKAT, HOSPITAL MEDAN DIBUKA DI KELANTAN

KOTA BHARU: Peningkatan kes COVID-19 di Kelantan sejak beberapa minggu lalu menyebabkan kerajaan negeri terpaksa mengambil pendekatan untuk membuka hospital medan selain menambah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC)
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata hospital medan tersebut akan dibuka di Tapak Padang Perdana, Kota Bharu, selain satu lagi PKRC iaitu di Kelantan Trade Centre (KTC) yang mampu memuatkan 1,000 pesakit dijangka beroperasi dalam masa terdekat.
“Fasiliti hospital dan PKRC kita tidak mencukupi. Unit Rawatan Rapi (ICU) hampir penuh.
“Bayangkan penyakit-penyakit kritikal ICU kita terpaksa tolak ke dalam wad biasa. Ini keadaan yang sangat membimbangkan bagi kita di Kelantan,” katanya.
Dr Izani berkata pembinaan hospital medan di Kelantan menjadi petunjuk keadaan di negeri itu semakin kritikal.
Antara kebimbangan utama ialah peralatan ventilator sebanyak 60 unit kini hanya berbaki lima unit sahaja
Sekiranya kes jangkitan COVID-19 terus meningkat dengan tiga angka sehari di Kelantan, Dr Izani berkata hospital medan dan PKRC yang akan dibina itu hanya mampu bertahan untuk dua hingga tiga hari sahaja.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Menerusi mesyuarat yang berlangsung selama lebih sejam itu, pihaknya sudah berbincang dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mendapatkan anggaran kos selain jabatan kesihatan negeri akan turun padang melihat lokasi yang dicadangkan itu.
Sementara itu Hospital Machang juga dilapor akan dijadikan hospital COVID-19 sepenuhnya sebagaimana Hospital Tumpat, bagi menampung jumlah pesakit yang semakin bertambah. — AlHijrah Online