JEMAAH HAJI MALAYSIA AKAN TERIMA VAKSIN PFIZER DAN ASTRAZENECA

KUALA LUMPUR: Jemaah haji Malaysia yang dipilih untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini akan diberikan suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, dua vaksin tersebut juga antara yang diiktiraf Arab Saudi.

“Rakyat Malaysia yang akan ke Makkah tahun ini kita telah mohon untuk diberikan Pfizer-BioNTech.

“Sekiranya bekalan tidak mencukupi, vaksin AstraZeneca akan digunakan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan di Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Zulkifli, Tabung Haji akan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung perkara berkenaan.

Mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP) haji dan umrah, Zulkifli berkata perincian lanjut akan diumumkan pihaknya selepas mendapat keputusan atau kebenaran dari Arab Saudi untuk pelaksanaan ibadah tersebut.

Sebelum ini Arab Saudi telah mengumumkan antara kebenaran untuk jemaah haji tahun ini ialah wajib mendapatkan suntikan vaksin. — AlHijrah Online

Leave a Reply