KO-MAKMUR TEROKAI PASARAN EMAS GLOBAL

KUANTAN: Koperasi Makmur Malaysia Berhad (KO-MAKMUR) bakal menerokai perniagaan emas pasaran global selepas Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta akademi kecemerlangan membabitkan industri emas beroperasi sepenuhnya hujung tahun ini.

Pusat R&D dan akademi kecemerlangan yang pertama di Malaysia itu, kini dalam proses ubah suai membabitkan peruntukan kira-kira 3 juta Ringgit.

Ia akan mengkhususkan kepada R&D berkaitan kesenian, reka bentuk dan kaedah pemasaran produk berasaskan emas.

Menurut Pengerusi Ko-Makmur, Datuk Hishamuddin Abdullah, Ko-Makmur telah menjalinkan kerjasama strategik bersama SIRIM.

Ia sebagai permulaan untuk Ko-Makmur menerokai pasaran yang lebih besar dengan menjual produk yang berkualiti tinggi.

“Melalui pengiktirafan kualiti daripada SIRIM, ia memudahkan Ko-Makmur untuk meneroka pasaran global terutama di timur tengah dan Eropah,” katanya.

Pengiktirafan SIRIM juga akan memberi kesan yang positif kepada pasaran emas Makmur Gold.
Melalui kerjasama tersebut, setiap produk emas Makmur Gold akan dinilai dan disahkan kualiti oleh SIRIM serta diberi nombor siri khas bagi mengelak pengguna ditipu.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM,Datuk Dr. Ahmad Sabirin berkata, potensi perniagaan berasaskan emas adalah sangat besar dan SIRIM sedia membantu serta membimbing Ko-Makmur dan Makmur Gold untuk meneroka pasaran luar negara.

“Pusat kecemerlangan yang kita akan bangunkan di SIRIM Pahang ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan kita harap lebih banyak pusat seperti ini akan dibangunkan bersama dengan Makmur Gold,” katanya.

Makmur Gold kini memiliki empat kedai emas iaitu di Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Bandar Baru Bangi.

Tiga lagi kedai emas Makmur Gold bakal dibuka di Ipoh, Putrajaya dan Johor Baharu. – AlHijrah Online

Leave a Reply