DUA LELAKI DITAHAN BAKAR PONDOK POLIS

KOTA BHARU: Polis menahan dua lelaki disyaki terlibat kejadian kebakaran di sebuah pondok polis di Pasar Jelawat, Bachok, awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kebakaran kecil itu berlaku kira-kira 3.12 pagi dan suspek lelaki berusia 24 dan 35 tahun ditahan dalam dua serbuan di dua lokasi berbeza.

“Polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan hadapan lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki bermotosikal membaling satu objek ke sebuah pondok polis hingga terbakar.

“Siasatan mendapati terdapat kesan jelaga pada dinding bahagian luar pondok dan kesan terbakar pada dinding selain kesan retak pada cermin tingkap,” katanya.

Tambahnya, pemeriksaan yang dilakukan menemukan satu objek plastik berisi sisa petrol yang dijadikan sebagai bahan kes.

Polis masih menyiasat motif suspek membakar pondok polis berkenaan di samping ujian urin suspek yang berusia 35 tahun didapati positif dadah jenis metamphetamine.

“Kedua-duanya mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan direman enam hari berkuatkuasa hari ini sehingga Jumaat bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat dengan api yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.–AlHijrah Online

Leave a Reply