SEKOLAH DIBUKA SECARA BERPERINGKAT BERMULA 3 OKTOBER

Sumber Gambar: AFP

KUALA LUMPUR: Pembukaan sekolah akan dilakukan secara berperingkat mengikut Fasa Pelan Pemulihan Negara, bermula 3 Oktober.

Pun begitu, Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Datuk Dr Radzi Jidin berkata, sekolah-sekolah di negeri yang berada di Fasa 1 PPN kekal ditutup dan semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sahaja.

Bagi sekolah-sekolah di negeri Fasa 2 PPN, tindakan yang diambil sama dengan sekolah-sekolah di Fasa 1 PPN cuma hanya kelas peperiksaan sahaja dibenarkan untuk hadir ke sekolah.

“Bagi kehadiran pelajar di sekolah adalah 50 peratus daripada enrolmen keseluruhan secara penggiliran setiap minggu.

“Setiap kelas dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu secara bersemuka serta pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), akan bergilir-gilir setiap minggu,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau turut memaklumkan jika terdapat ibu bapa atau penjaga memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah, ketidakhadiran tersebut tidak akan dianggap sebagai satu kesalahan disiplin.

Namun, ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan ketidakhadiran murid kepada pihak sekolah untuk tujuan rekod.

“Tidak hadir, tidak apa. Ia tidak dianggap sebagai kesalahan disiplin dan kami tidak akan hantar surat amaran.

“Tetapi ibu bapa perlu menulis surat ke pihak sekolah untuk menjelaskannya, dan ini akan digunapakai untuk tempoh pembukaan sekolah sehingga ke hujung tahun ini,” katanya.

Sementara itu, pelajar yang hadir ke sekolah diwajibkan untuk memakai pelitup muka dan digalakkan untuk memakai dua lapis pelitup muka.

Tambah Radzi, pelajar juga dibenarkan memakai pakaian yang sesuai, kemas dan sopan jika pakaian seragam sekolah sedia ada tidak lagi sesuai untuk dipakai.—AlHijrah Online

Leave a Reply