ORANG UTAN DI MALAYSIA JALANI SARINGAN COVID-19 BUAT PERTAMA KALI

KOTA KINABALU: Orang utan di Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok Sandakan dan Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Putatan di sini menjalani ujian saringan COVID-19.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) Augustine Tuuga berkata, pihaknya mengambil langkah tersebut demi menjamin kesihatan hidupan berkenaan dan pemantauan berterusan tetap dilaksana bagi mengesan sebarang simptom jangkitan.

Setakat ini, hasil ujian saringan yang dilakukan mendapati sejumlah 30 orang utan negatif COVID-19.

“Ujian saringan juga akan diulang dari semasa ke semasa sebagai langkah pencegahan bagi memastikan virus COVID-19 tidak menular dalam kalangan hidupan liar.

“Ini kali pertama orang utan di Malaysia menjalani ujian saringan COVID-19 sejajar keutamaan kita dalam memastikan kesihatan serta kebajikan veterinar hidupan liar pada tahap terbaik,” katanya.

Tambahnya, ujian saringan yang dilaksana pasukan veterinar JHLS dan Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) diketuai Dr Rosa Sipangkui, Dr Nabila Sarkawi yang dibantu Dr Mischellena Samanthan serta Dr Umamaheswary Kalamanathan.

Sementara itu, menurut Timbalan Pengarah JHLS yang juga Ketua WRU Sabah, Dr Sen Nathan, inisiatif tersebut dijalankan atas kebimbangan hidupan liar tersebut dijangkiti COVID-19 berikutan peningkatan kes jangkitan virus tersebut di Sabah, ketika ini.

Kebimbangan juga disebabkan terdapat penjaga hidupan liar dan kakitangan di kedua-dua fasiliti JHLS disahkan positif COVID-19, katanya.

Dalam pada itu, pertubuhan Orangutan Appeal UK (OUAK) menyokong inisiatif tersebut dengan membantu menyumbang dana bagi pembelian kit ujian antigen COVID-19, ‘pulse oximeter’ serta ubat-ubatan buat orang utan dan kakitangan di Sepilok dan WRU.

Pengerusi OUAK, Datuk Sue Sheward berkata, pihaknya bangga dapat membantu dalam usaha memastikan populasi orang utan tidak diancam jangkitan COVID-19.

“Orang utan berkongsi 96.4 peratus DNA dengan manusia, jadi sangat penting kita melaksanakan ujian saringan terhadap hidupan liar itu dalam usaha untuk melindungi mereka.

“Begitu juga kesihatan dan kebajikan kakitangan adalah sangat penting kerana mereka terus bekerja sepanjang pandemik bagi menjaga hidupan liar sama seperti sebelum ini,” katanya.

Tahun ini, OAUK juga menyokong aktiviti konservasi yang dilaksanakan Unit Konservasi Spesies Terancam yang baru diwujudkan di bawah JHLS berpusat di Lahad Datu, selain WRU dan Sepilok Orangutan Appeal.—AlHijrah Online

Leave a Reply