Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

KPM, SPP MULA USAHA PROAKTIF TANGANI ISU LAMBAKAN SISWAZAH PERGURUAN

DALAM NEGARA

KPM, SPP MULA USAHA PROAKTIF TANGANI ISU LAMBAKAN SISWAZAH PERGURUAN

Kementerian Pendidikan (KPM) bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) telah memulakan usaha proaktif dalam menangani isu graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP), yang belum mempunyai penempatan di sekolah.

Sumber Gambar: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) telah memulakan usaha proaktif dalam menangani isu graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP), yang belum mempunyai penempatan di sekolah.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata perkara itu, yang turut mengambil pandangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), diharap akan dapat diselesaikan tahun ini secara berperingkat.

“Kita (KPM) sudah ada buat usaha dengan SPP untuk menangani isu itu. Gerakan dan tindakan proaktif kita adalah bersama SPP,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Buku Sokongan Pendidikan Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan NUTP baru-baru ini bahawa kecenderungan universiti awam dan swasta dalam melahirkan siswazah perguruan tanpa unjuran keperluan KPM, boleh menyumbang kepada isu pengangguran dalam kalangan graduan bidang tersebut.

Media sebelum ini melaporkan seramai 4,390 lepasan ISMP menamatkan pengajian masing-masing antara 2011 hingga 2020, namun sebahagiannya masih tidak mendapat panggilan temu duga untuk ditempatkan di sekolah.

Pada Ahad lepas, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kementeriannya akan bekerjasama rapat dengan KPM, untuk mencari kaedah berhubung isu lambakan siswazah perguruan di negara ini.

Sementara itu, mengulas mengenai pelancaran buku sokongan pendidikan DBP, Fadhlina berkata seramai 37 orang penulis terdiri daripada guru dan bekas guru, terlibat dalam penghasilan 31 judul buku sokongan pendidikan tersebut.

Beliau berkata kesemua buku yang diterbitkan DBP itu, merangkumi pelbagai mata pelajaran untuk kegunaan murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah, berdasarkan kurikulum serta sukatan pelajaran yang diguna pakai KPM.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading