LELAKI BANTU PADAM KEBAKARAN NYARIS MAUT

Gambar Hiasan

KOTA BELUD: Niat seorang lelaki untuk membantu memadamkan kebakaran rumah di Kampung Suang Punggur, hampir menyebabkan dia maut apabila terkena renjatan elektrik.

Menurut laporan, dalam kejadian jam 10.25 malam itu, mangsa Mohammad Azhar Julin, 20, sedang memberi bantuan awal sebelum pasukan bomba tiba dan bernasib baik sempat diselamatkan penduduk.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.28 malam dan enam anggota dikerah ke lokasi bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Apabila tiba di lokasi, pasukannya yang turut dibantu lima anggota Bomba Bantuan, mendapati terdapat seorang mangsa terkena renjatan elektrik.

“Mangsa bernasib baik sempat ditarik penduduk yang berada di lokasi dan dihantar ke hospital Kota Belud dalam keadaan sedar untuk rawatan lanjut.


“Sebuah rumah jenis tidak kekal dan sebuah motosikal terbakar 100 peratus, namun kejadian tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Menurutnya, api berjaya dikawal jam 11.19 malam sebelum operasi ditamatkan jam 11.50 malam dengan punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. –AlHijrah Online

Leave a Reply