LELAKI DITAHAN BANTU SIASATAN DERA ISTERI, SEMBILAN ANAK

GEORGETOWN: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung dakwaan dera membabitkan isteri dan sembilan orang anaknya dalam kejadian di daerah Timur Laut, di sini, baru-baru ini.

Menurut laporan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais, berkata lelaki berumur 41 tahun dan bekerja sebagai peniaga itu ditahan semalam di negeri ini selepas pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu daripada isterinya.

“Wanita berusia 31 tahun yang merupakan isteri lelaki itu membuat laporan polis mendakwa dia bersama sembilan anak mereka berumur satu hingga 13 tahun menjadi mangsa dera lelaki berkenaan.

“Ekoran itu, polis menahan lelaki terbabit bagi membantu siasatan dan dia kini direman bermula hari ini hingga 6 Januari, kes disiasat menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata rawatan perubatan dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti berapa ramai anak pasangan itu menjadi mangsa dera namun polis tidak menolak kemungkinan lebih daripada seorang yang mengalami kecederaan.

Ditanya sama ada wanita itu turut didera, Rahimi berkata pihaknya sedang menunggu laporan perubatan mangsa yang merupakan warga asing.

Katanya, beliau meminta kerjasama orang ramai atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menyalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Gambar seorang wanita bersama sembilan anaknya yang diselamatkan oleh beberapa individu dengan bantuan NGO di Pulau Pinang selepas menjadi mangsa penderaan fizikal dan mental oleh suami mangsa, tular dalam media sosial.

Berdasarkan gambar itu juga, terdapat kesan kecederaan membabitkan beberapa anak pasangan itu malah wanita tersebut turut mendakwa dia juga didera fizikal dan mental sehingga bertindak meminta bantuan beberapa individu untuk melarikan diri daripada suspek kerana sudah tidak tahan menanggung derita. –AlHijrah Online

Leave a Reply