UMRAH TERTANGGUH, BAKAL JEMAAH HIBA DALAM REDA

BACHOK: Bakal jemaah umrah reda dengan keputusan kerajaan pada Ahad lepas, untuk menangguhkan sementara perjalanan ibadah umrah, bermula 8 Januari 2022.

Seorang bakal jemaah umrah, Asiah Mat Zain, 57, berkata walaupun beliau memahami langkah yang diambil oleh kerajaan demi menjaga kesihatan serta keselamatan jemaah umrah dari Malaysia, namun kesedihan tetap dirasainya.

Menurut Asiah yang juga ibu tunggal dari Kampung Jenerak Tawang, Bachok, dia sepatutnya dijadualkan untuk berlepas ke tanah suci bagi menunaikan ibadah umrah pada 17 hingga 28 Januari ini, dengan ditemani adiknya, Raziah, 55.

“Saya berasa sedih sangat sebab terpaksa menunda penerbangan saya untuk pergi menunaikan umrah pada 17 Januari nanti.

“Semasa mendapat khabar tentang kerajaan menangguhkan sementara ibadah umrah, saya sedih hingga tidak terkata. Walaupun persiapan sudah dibuat dari bulan 11 lepas, tapi sudah tidak boleh pergi, nak buat macam mana,” katanya.

Menurut Asiah, ahli keluarga serta rakan-rakannya juga banyak memberi sokongan dan kata-kata semangat supaya beliau bersabar dengan ujian yang mungkin ada hikmah tersembunyi.

Asiah berharap penangguhan ini hanyalah bersifat sementara dan beliau berdoa agar dapat menunaikan ibadah umrah sebelum Hari Raya Aidilfitri akan datang.

Sabtu lalu, kerajaan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini berikutan peningkatan kes varian Omicron dalam kalangan jemaah umrah Malaysia.

Keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdasarkan penilaian risiko situasi varian Omicron di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi.—AlHijrah Online

Leave a Reply