LELAKI TIPU BAKAL BAPA MENTUA DIPENJARA TIGA TAHUN

KOTA BHARU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini, terhadap enam pertuduhan memperdaya bakal bapa mentuanya, antara 9 Ogos hingga 12 September lalu.

Tertuduh, Shah Jahan Sazali, 36 tahun, yang juga peniaga dalam talian mengaku bersalah dalam enam pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam tertuduh didakwa menipu mangsa yang juga seorang imam, Mad Rozali Botok, 65, dengan memperdayakan mangsa untuk menjalankan perniagaan emas yang tidak wujud menyebabkan mangsa menyerahkan wang sebanyak RM24,200.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di antara 9 Ogos hingga 12 September lalu di Pangsapuri Bandar Baru Kubang Kerian, Kota Bharu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun hingga tidak lebih 10 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yusnaliza Mohammad Yusoff, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Intan Nor Nadhirah Ismail.

Yusnaliza dalam pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana kesalahan itu dilihat berat.

Bagaimanapun, Intan Nor Nadhirah merayu supaya mahkamah memberi hukuman minimum memandangkan lelaki itu mengaku bersalah dan sudah insaf.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman masing-masing penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan.

Hukuman penjara dijalankan serentak bermula tarikh jatuh hukuman. – AlHijrah Online

Leave a Reply