JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga China maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Bertam 15, Taman Daya, Johor Bahru malam tadi.
Menurut ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat, kejadian berlaku pada 11 malam dan mangsa dikenali sebagai Wu Zhongdi, 47 tahun.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan. Tiada unsur jenayah dikesan setakat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau Muhamad Syahhir Ikhwan Mohamad berkata kebakaran melibatkan rumah teres setingkat yang musnah 80 peratus dan dipercayai dihuni tujuh individu termasuk enam penyewa.
“Seorang mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan,” katanya.
Muhamad Syahhir Ikhwan berkata kejadian itu juga menyebabkan seorang lelaki tempatan dipercayai pemilik rumah melecur tahap satu manakala penghuni lain dilaporkan selamat.
Operasi pemadaman yang melibatkan 19 pegawai dan anggota bomba tamat pada 1.30 pagi. —AlHijrah Online