LIMA PEMANDU KERETA MEWAH PANDU SECARA BAHAYA DIBEBASKAN DENGAN JAMINAN POLIS

KOTA TINGGI: Lima pemandu kereta mewah dikesan memandu secara berbahaya dengan memotong kenderaan lain secara melulu di Lebuhraya Senai-Desaru baru-baru ini, dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata, polis telah selesai mengambil keterangan daripada kesemua pemandu terlibat semalam.

“Lima pemandu kereta mewah itu telah tampil memberikan keterangan pada Jumaat dan dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya seperti dilapor media.

Semalam polis telah mengenal pasti lima pemandu kereta mewah jenis Lamborghini yang dikesan memandu secara melulu dan berbahaya di Lebuhraya Senai-Desaru.

Lima pemandu dan kenderaan masing-masing berjaya dikesan menerusi rakaman video yang dimuat naik oleh orang awam.

Rakaman tular itu memaparkan konvoi kereta mewah yang dipandu dalam keadaan berbahaya dengan memotong kenderaan lain secara melulu sehingga boleh menyebabkan kemalangan.

Kejadian tersebut berlaku di Lebuhraya Senai-Desaru dan pergerakan kenderaan adalah dari Senai menghala ke Bandar Penawar.

Kesemua pemandu terbabit yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 44 hingga 64 tahun merupakan orang tempatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.—AlHijrah Online

Leave a Reply