LOKASI PELIK SIDANG MEDIA PEGUAM TRUMP JADI BAHAN LAWAK

Sumber: Twitter

PHILADELPHIA, AS: Tidak dapat dipastikan adakah pentadbir akaun Twitter Donald Trump, @realDonaldTrump sengaja atau cuai dalam mengumumkan bahawa sidang media pasukan peguam presiden Amerika Syarikat ke 45 itu diadakan di sebuah lokasi yang ‘menyedihkan’.

Ciapan pada jam 10.45 malam, 7 November lalu menyatakan bahawa satu sidang media luar biasa akan diadakan oleh pasukan peguam Trump, bertempat di Four Season Total Landscaping jam 11.30 pagi keesokan harinya.

Ciapan Twitter Donald Trump yang dilapor mengelirukan warganet dan petugas media.

Apabila diselidiki, lokasi berkenaan adalah sebuah tempat meletak kenderaan yang berkedudukan antara sebuah kedai buku dewasa, dan tidak jauh dari sebuah kedai keranda dan lokasi membakar mayat.

Bagaimanapun sidang media berkenaan tetap diadakan dan dikendalikan bekas Datuk Bandar New York, Rudy Giuliani dan beberapa orang kanannya.

Lokasi sidang media peguam Trump di
Four Season Total Landscaping
yang menjadi bahan lawak warganet.
Sumber: Twitter

Netizen yang ‘membahan’ gambar-gambar sidang media berkenaan menyatakan bahawa amat jauh sekali perbezaan ketika suasana Trump diangkat dan dijulang sebagai presiden AS ke-45 pada Januari 2017, dan ketika berakhir pentadbirannya selepas diumum tewas kepada bekas Naib Presiden, Joe Biden.

Ada kemungkinan berlaku kekeliruan dengan lokasi yang diciap Trump, sama ada Four Season Total Landscaping atau pun di sebuah hotel mewah Four Seasons Philadelphia.

Penjelasan pihak Four Season Hotel, Philadelphia yang menafikan pihaknya ada kaitan dengan Four Seasons Total Landscaping.

Pihak hotel Four Seasons di bandar itu, dalam ciapan Twitternya bagaimanapun turut menafikan bahawa sidang media pasukan Trump akan diadakan di hotel berkenaan, sebaliknya di sebuah syarikat landskap dan taman yang tiada langsung kaitan dengan hotel terbabit. – AlHijrah Online / Ardi Herman Mohd Mardzi

Leave a Reply