MAAHAD TAHFIZ MESRA OKU DIBANGUNKAN DI TANJUNG KARANG

SHAH ALAM: Sebuah maahad tahfiz mesra orang kurang upaya (OKU) akan dibina di atas sebidang tanah wakaf Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di Tanjung Karang.

Pembinaan maahad tahfiz itu diusahakan Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat dengan sokongan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad serta MAIS.

Dengan pembukaan ini, kerajaan yakin ianya bakal melahirkan generasi huffaz dikalangan orang kurang upaya (OKU).

“Hari ini kita bersama-sama dalam satu lagi inisiatif untuk OKU yang dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain daripada Darul Quran yang memang ada kelas untuk OKU.

“Jadi diharapkan program ini dapat berjalan dengan baik dan mendapat sokongan semua pihak termasuklah pihak kerajaan dan NGO terlibat,” katanya.

Sementara itu Pengerusi MATAAR, Dr. Abdol Hamid Ishak berkata objektif penubuhan MATAAR ini adalah untuk melahirkan ilmuan Islam dikalangan OKU agar dapat memahami ilmu agama khususnya ilmu Al-Quran, Hadis dan Feqah sekaligus melahirkan generasi huffaz OKU.

MATAAR juga turut menyediakan kemahiran di dalam bidang vokasional kepada golongan ini bagi memastikan mereka dapat berdaya saing seperti masyarakat normal.

Justeru, bantuan sumbangan dana dari masyarakat setempat serta NGO dalam menjayakan projek ini amat diperlukan agar golongan OKU tidak akan keciciran dalam mendapatkan ilmu agama yang sepatutnya.

“Alhamdulillah hari ini kita dapat memberi kefahaman kepada masyarakat tentang perlunya kita sama-sama menjaga golongan OKU ni.

“Ibu bapa yang mempunyai anak-anak OKU jangan malu untuk datang, kita juga ada ceramah untuk ibu bapa dan solat berjemaah contohnya solat dhuha yang akan diimamkan sendiri oleh OKU,” katanya.

Untuk rekod, permohonan pembinaan tahfiz OKU ini telah diluluskan pihak MAIS sejak 16 Mac 2020, bagaimanapun, ianya tergendala akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

Orang ramai yang ingin membuat sumbangan boleh disalurkan melalui Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat, Maybank 5622 6352 6178.–AlHijrah Online

Leave a Reply