MACAU SCAM: GURU RUGI RM20,000

KUANTAN: Seorang guru mengalami kerugian hampir RM20,000 selepas ditipu oleh sindiket ‘Macau Scam’ dengan memperdaya mangsa terlibat kegiatan pengubahan wang haram.

Wanita yang berusia 37 tahun itu dihubungi individu yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pagi kelmarin.

Mangsa dimaklumkan mempunyai tunggakan cukai perniagaan syarikatnya, tetapi mangsa menafikan mempunyai syarikat seperti yang dinyatakan.

Bagaimanapun mangsa cuba diyakinkan oleh sindiket tersebut dengan menyambungkan talian tersebut kepada individu lain yang menyamar sebagai anggota polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, individu yang menyamar polis itu menuduh mangsa terlibat jenayah pengubahan wang haram.

“Pengadu diarahkan untuk memuat turun aplikasi (palsu) Bank Negara Malaysia (BNM) dan disuruh mengisi butir-butir peribadi termasuk kata laluan perbankan secara dalam talian.

“Setelah selesai perbualan telefon, mangsa menyedari wang di dalam akaunnya telah dipindahkan ke akaun milik individu tidak dikenali melibatkan lima transaksi.

“Mangsa telah mengalami kerugian berjumlah RM19,950 dan mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Jaya Gading dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan. 

Sehubungan itu, Mohd. Wazir menasihati orang ramai untuk tidak memuat turun dan mengisi sebarang maklumat dalam aplikasi palsu BNM seperti diarahkan mana-mana individu.

Mohd Wazir juga meminta mana-mana individu untuk menamatkan terus perbualan telefon dengan pegawai LHDN palsu yang menyambungkan talian kepada agensi lain kerana ianya tidak diamalkan oleh mana-mana agensi penguatkuasa.—AlHijrah Online

Leave a Reply