MADAD BANTU MANGSA TRAGEDI KEPALA AIR

MERBOK: Tragedi kepala air di Gunung Jerai yang menyebabkan bencana banjir lumpur meninggalkan kesan yang perit buat mangsa.

Bencana itu menyebabkan rumah ramai mangsa dipenuhi lumpur yang melekat di lantai dan dinding kediaman.

Simpati dengan keperitan ditanggung mangsa, Murtadha Dakwah Centre (MADAD) tampil bersama sukarelawan untuk bersama membantu membersihkan rumah mangsa yang terkesan akibat banjir lumpur.

Pengarah Urusan MADAD, Mohammad Yaakub Yusra Yusuf berkata, sebaik mengetahui musibah menimpa penduduk di sekitar Merbok, Titi Hayun dan Gurun di Kedah, bantuan khidmat mencuci dan mengemas kembali rumah mangsa dilancarkan pihaknya.

“Ketika kita sampai keadaan rumah mangsa memang agak teruk dengan ada yang lumpur setinggi paras lutut. Jadi ia akan memberi cabaran untuk mangsa kembali membersihakn kediaman.

“Jadi melalui bantuan yang MADAD gerakan diharap ia akan dapat membantu meringankan beban mangsa lebih-lebih lagi kebanyakkan daripada mereka adalah golongan B40 yang telah sedia terkesan akibat pandemik COVID-19,” katanya ketika ditemui Berita AlHijrah pada misi tersebut.

Dalam misi berkenaan, lebih 30 kediaman dibersihkan pihak MADAD secara sukarela.

Sukarelawan, Muzakkir Mazelah, 28, berkata dia terpanggil untuk menyertai misi berkenaan selepas melihat ujian yang menimpa mangsa kejadian kepala air.

“Kita sebagai orang muslim yang duduk berhampiran tak akan kita hendak duduk diam sahaja. Apa yang kami lakukan ini diharap dapat ringan beban mangsa,” katanya.

Mangsa, Amin Abdullah, 29, berkata kejadian banjir lumpur baru-baru meninggalkan kesan mendalam buat dia sekeluarga.

Katanya rumah pusaka yang didiami oleh ayah bersama dua adiknya itu teruk dibadai air yang datang bersama lumpur.

“Saya bersyukur sebab ada yang sudi datang tolong. Kalau tidak susah juga nak kemas ni sebab selut semua memang mencabar kalau buat sorang,” katanya.

Program prihatin itu merupakan salah satu usaha yang dijalankan MADAD selain penubuhan Murtadha Dakwah Centre, sebuah fasiliti pusat dakwah 24 jam yang lengkap dengan masjid, rumah warga emas, pengurusan jenazah percuma dan pendidikan percuma.

Murtadha Dakwah Centre dijangka akan siap sepenuhnya pada 2025.

Untuk mereka yang mahu mengejar saham akhirat dengan bersama-sama menjayakan penubuhan Murtadha Dakwah Centre, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank 5520 5980 7117 atas nama Murtadha Dakwah Centre, atau boleh klik link http://www.madadcentre.com serta boleh juga hubungi nombor hotline 014-601 9090 atau 014- 601 9494. – AlHijrah Online

Leave a Reply