Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

MADURO MENGAKU TIDAK BERSALAH ATAS SEMUA PERTUDUHAN DI MAHKAMAH AS

DUNIA

MADURO MENGAKU TIDAK BERSALAH ATAS SEMUA PERTUDUHAN DI MAHKAMAH AS

Presiden Venezuela Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores, mengaku tidak bersalah di mahkamah pada Isnin terhadap beberapa siri pertuduhan berkaitan senjata api dan dadah yang dikemukakan oleh pentadbiran Trump.

Lakaran bilik mahkamah menunjukkan Presiden Venezuela Nicolas Maduro yang dilucutkan jawatan (kedua kiri), dan isterinya, Cilia Flores, menghadiri perbicaraan mereka di Mahkamah Agung Daniel Patrick Moynihan Amerika Syarikat pada 5 Januari 2026 di New York, bersama peguam bela Barry Pollack (L) dan Mark Donnelly (2-R). Gambar: AFP

WASHINGTON: Presiden Venezuela Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores, mengaku tidak bersalah di mahkamah pada Isnin terhadap beberapa siri pertuduhan berkaitan senjata api dan dadah yang dikemukakan oleh pentadbiran Trump, lapor Agensi Anadolu.

“Saya tidak bersalah. Saya tidak bersalah atas sebarang perkara yang disebutkan di sini,” kata Maduro kepada Hakim Amerika Syarikat (AS) Alvin Hellerstein, menurut beberapa laporan media.

Flores turut memberikan maklum balas yang sama apabila diminta menyatakan pengakuan, dengan memberitahu Hellerstein bahawa beliau “tidak bersalah. Memang tidak bersalah.” 

Hellerstein memaklumkan Maduro dan Flores bahawa mereka mempunyai hak untuk lawatan konsul, dan kedua-duanya menyatakan keinginan untuk menggunakan hak itu. Buat masa ini, kedua-dua pihak tidak memohon ikat jamin.

Maduro berhadapan dengan empat pertuduhan yang mendakwa beliau mengetuai konspirasi “keganasan-narko” selama berdekad-dekad bertujuan membanjiri AS dengan kokain.

Pendakwa raya AS mendakwa Maduro menyelaraskan kegiatan itu bersama kumpulan bersenjata dan tokoh kanan kerajaan untuk memudahkan penyeludupan kokain secara besar-besaran, dengan menggunakan institusi negara bagi menyokong operasi dadah berkenaan.

Pertuduhan itu didedahkan selepas Maduro dipindahkan ke New York pada Sabtu susulan operasi ketenteraan AS semalaman yang membawa kepada penahanannya. Beliau kini berada di bawah  tahanan persekutuan di Brooklyn.

“Saya ditangkap di rumah saya di Caracas, Venezuela,” kata Maduro, sebelum mendakwa bahawa beliau telah “diculik” oleh pihak AS.

Barry Pollack, peguam yang mewakili Maduro, dilihat mula menyediakan asas pembelaan untuk mencabar kesahihan penahanan Maduro dengan menyatakan “terdapat keraguan mengenai kesahihan tindakan ketenteraan itu.”

Hellerstein menetapkan 17 Mac depan sebagai tarikh sebutan mahkamah yang seterusnya bagi Maduro.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading