MAIWP LANCAR PROJEK LAMAN CENDAWAN UNTUK ASNAF DI LABUAN

LABUAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan melancarkan projek Laman Cendawan bernilai RM193,720 di Kampung Sungai Buton hari ini.
Projek bertujuan membantu menaik taraf golongan asnaf itu melibatkan pembinaan lima rumah cendawan berkeluasan 2,800 kaki persegi di kawasan seluas tujuh hektar milik MAIWP.
Pengerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP Tan Sri Dr Abdul Aziz Abd Rahman ketika melancarkan projek itu berkata setiap rumah cendawan itu berkeluasan 300 kaki persegi dengan mampu memuatkan 4,000 bongkah cendawan pada satu-satu masa.
Beliau berkata setiap rumah cendawan dikendalikan oleh seorang asnaf yang dilantik berdasarkan minat dan kecenderungan meningkatkan ekonomi dalam bidang pertanian serta melepasi proses tapisan MAIWP.
“Objektif program rintis pertanian ini untuk membantu golongan asnaf terus berdikari dan sentiasa berusaha untuk keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya.
Program berkonsepkan pertanian bandar itu juga dilihat mampu mewujudkan ekosistem menjana pendapatan pelbagai pihak di samping mendukung misi dan visi keterjaminan makanan negara.
Abdul Aziz berkata MAIWP menganggarkan sebuah rumah cendawan boleh mengeluarkan maksimum tujuh kilogram hasil tuaian cendawan sehari.
“Projek ini merangkumi struktur bangunan rumah cendawan, sistem pengairan dan elektrik, rak dan bongkah cendawan serta pembersihan tanah,” katanya dan menambah projek berkenaan melibatkan kerjasama Jabatan Pertanian Labuan, Pertubuhan Peladang dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). — AlHijrah Online