Malaysia bebas untuk tolak LGBT

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa sesebuah negara itu berhak menolak sesuatu yang bertentangan dengan budaya, adat resam dan agama yang diamalkannya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di London pada Isnin sebelum mengakhiri lawatan kerja tiga hari di United Kingdom (UK).
Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya sama ada soalan mengenai LGBT yang diajukan semasa sesi soal jawab selepas beliau berucap di Cambridge Union pada Ahad menunjukkan masih ada tekanan untuk negara menerima cara hidup songsang itu.
Ini kerana negara-negara Barat kelihatan seringkali memaksa negara-negara lain menerima doktrin mereka seperti komunisme, kapitalisme, sosialisme dan juga gaya hidup songsang LGBT, sedangkan pada masa yang sama mereka sering melaungkan kebebasan.
Walhal sepatutnya atas nama kebebasan itu, terserah pada sesebuah negara untuk menolak LGBT kerana ia adalah suatu perubahan nilai moral yang melampau.
“Tetapi demikianlah tekanan mereka sehingga mereka mempengaruhi rakyat Malaysia sendiri, termasuk setengah-setengah Orang Islam dan Melayu yang beranggapan satu daripada manifestasi kebebasan adalah hak untuk menerima apa yang dilakukan di Barat,” katanya sebagaimana laporan Bernama.
“Ada benda di Barat yang kita perlu guna sebagai contoh. Umpamanya di Barat institusi perkahwinan sudah tidak dipedulikan, demikian juga institusi institusi keluarga tidak diterima lagi. Mereka boleh hidup bersama tanpa berkahwin.
“Itu cara mereka, kita tidak harus terima. Kita ada nilai hidup kita dan pegang kepada nilai itu dan mesti berbangga dengan nilai hidup kita. Jangan kita menurut kepada Barat,” katanya.
Dalam lawatan kerja tiga hari beliau ke UK, Dr Mahathir diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Sadiq Abdul Rahman.