MALAYSIA TIDAK HANTAR JEMAAH HAJI, AKUR DAN HORMAT KEPUTUSAN ARAB SAUDI

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan menghantar jemaah haji bagi musim 1442H selepas Arab Saudi memutuskan ibadat haji hanya untuk warganegaranya dan penduduk negara lain yang telah berada dalam Arab Saudi sahaja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata Malaysia akur serta menghormati keputusan yang dibuat kerajaan Arab Saudi.

“Saya memohon maaf kepada semua bakal jemaah haji yang amat cinta dan rindukan dua Tanah Suci kerana terpaksa menangguhkan ibadah Haji pada tahun ini.

“Keputusan ini sudah pasti amat berat dan sukar untuk diterima, tetapi kita tetap yakin dengan hikmah di sebalik keputusan tersebut.

“Sesungguhnya hifz al-nafs (memelihara nyawa) adalah salah satu daripada prinsip Maqasid Syariah yang sentiasa dijunjung oleh Kerajaan Malaysia dalam mengambil sebarang keputusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata beliau telah dihubungi sendiri Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Abdelfattah Sulaiman Mashat hari ini untuk dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat Arab Saudi.

“Saya mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi penghargaan kepada Khadimul Haramain Raja Salman bin Abdulaziz dan Kerajaan Arab Saudi yang sentiasa menjaga dan memelihara hubungan baik dengan Kerajaan Malaysia.

“Saya akan memastikan segala urusan rakyat Malaysia yang telah berada di sana dan terpilih untuk melaksanakan ibadah Haji bagi Musim Haji 1442H diuruskan dengan sebaiknya oleh Lembaga Tabung Haji, selaras dengan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Arab Saudi hari ini mengumumkan Ibadah haji bagi tahun ini hanya akan melibatkan jemaah dari dalam Arab Saudi sahaja susulan keadaan semasa pandemik COVID-19 dan kemunculan varian baharu.

Laman Twitter Haramain Info memaklumkan, jumlah jemaah haji tahun ini dihadkan kepada 60,000 orang sahaja. — AlHijrah Online

Leave a Reply