MASJID DI KEDAH PLATFORM BERI KESEDARAN KEPENTINGAN DOS PENGGALAK

Masjid sebagai platform beri kesedaran kepentingan doa penggalak. Gambar kecil: Datuk Dr Mohd Hayati Othman

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah akan menggunakan masjid sebagai platform untuk menyampaikan maklumat dan memberi kesedaran kepada rakyat di negeri ini mengenai kepentingan mengambil suntikan dos penggalak vaksin COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata langkah diambil berikutan jumlah penerima dos berkenaan yang didapati masih rendah selain bilangan kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) yang membimbangkan di negeri ini.

“Dari 1 Jan hingga 12 Mac lepas, 65 kematian dilaporkan berlaku di luar hospital atau BID dengan 86.2 peratus daripadanya belum menerima suntikan dos penggalak.

“Di Kedah juga, jumlah yang telah menerima suntikan dos penggalak sangat rendah terutama dalam kalangan kaum Melayu dan saya tidak pasti kenapa. Mungkin juga antaranya disebabkan oleh berita-berita yang tidak tepat ditularkan menerusi media sosial,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata baru-baru ini Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah telah mengadakan perbincangan dengan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) dan akan berbincang dengan pihak Pejabat Mufti Kedah bagi mendapatkan nasihat serta pandangan berkaitan penggunaan masjid untuk tujuan tersebut.

Mohd Hayati berkata kira-kira 90 peratus daripada kes BID di negeri ini juga terdiri daripada pesakit yang tidak tahu mereka telah dijangkiti COVID-19.

Kes BID di negeri itu juga melibatkan mereka yang telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 tetapi belum menerima suntikan dos penggalak.

“Jadi, ambillah dos penggalak dan sekiranya ada mengalami simptom seperti demam, selesema dan sakit tekak, sila lakukan ujian menerusi kit ujian pantas antigen (RTK). Jangan ambil mudah, sudah ada simptom tetapi tidak mahu buat pemeriksaan dan akhirnya hingga menyebabkan kematian,” katanya. –AlHijrah Online

Leave a Reply