MAYAT TERAKHIR TRAGEDI TANAH RUNTUH DITEMUKAN

Mayat terakhir mangsa tragedi tanah runtuh ditemukan petang tadi. -foto JBPM

BATANG KALI: Mayat terakhir mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di sini, ditemukan anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR), petang ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah, mengesahkan perkara berkenaan kepada Bernama.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Md Wan Ismail berkata mangsa terakhir itu ditemukan selepas digali secara manual oleh anggota penyelamat yang mengesan aliran cecair yang dipercayai daripada mayat berkenaan. 

Beliau berkata secara keseluruhan, 20 mayat ditemui di Sektor A, satu di Sektor B (farm view) dan 10 di Sektor C (river side). 

Tinjauan Bernama di Pos Kawasan Tempat Kejadian (PKTK) pada 7.20 malam ini mendapati anggota penyelamat SAR masuk ke lokasi pencarian bagi membuat aktiviti “pembersihan” tempat kejadian.

Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi 16 Dis lepas itu menyaksikan  31 nyawa terkorban dan 61 selamat daripada keseluruhan 92 mangsa yang dilaporkan dalam kejadian itu.

Operasi SAR melibatkan kerjasama lima agensi utama iaitu Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, JBPM, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan kekuatan anggota melebihi 250 orang. —AlHijrah Online

Leave a Reply