MESIN PERMAINAN ANAK PATUNG KANAK-KANAK ANTARA KATEGORI JUDI – DR MAZA

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Mesin permainan anak patung kanak-kanak atau seumpama dengannya antara termasuk dalam kategori perjudian (al-Maisir).

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ia kerana terdapat pertaruhan melibatkan wang yang mana jika berjaya akan memperolehi barang di dalam mesin tersebut dan jika gagal akan kerugian wang tersebut.

“Ini adalah satu bentuk pertaruhan yang dilarang oleh syara’ iaitu satu pihak akan mendapat keuntungan dan satu pihak lagi akan kerugian.

“Ia juga dilihat mempunyai unsur penipuan dan memperdayakan kanak-kanak untuk tujuan keuntungan,” katanya dalam infografik yang dikongsi di Facebooknya, hari ini.

Asri mengulas, seorang muslim juga dilarang menguruskan mesin permainan berunsur judi itu kerana ia termasuk memakan harta secara batil.

“Umat Islam di negeri Perlis hendaklah menjauhi daripada terlibat dengan permainan pertaruhan di mesin seumpama itu kerana ia termasuk dalam dosa besar,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply