MESYUARAT KHAS PARLIMEN: PM MUHYIDDIN BENTANG PPN

Sumber Gambar: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 pada hari ini bakal menyaksikan pembentangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 10 pagi nanti.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba turut akan memberi penerangan berkenaan tindakan menangani pandemik COVID-19.

Persidangan yang berlangsung selama lima hari itu juga turut menjadualkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk menerangkan berkenaan program vaksinasi.

Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan menerangkan mengenai pakej-pakej bantuan ekonomi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Menteri Pertahanan pula dijadual memberi penerangan mengenai pelaksanaan darurat.

Sewaktu sesi penerangan berlangsung, Ahli Parlimen akan diberikan ruang untuk meminta penjelasan dan mengemukakan pandangan sebelum menteri memberi jawapan berhubung isu yang dibangkitkan.

Sebanyak 12 dokumen merangkumi tiga Proklamasi Darurat dan sembilan Ordinan Darurat akan dibawa ke dalam mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 tersebut bermula hari ini sehingga 29 Julai dan 2 Ogos.

Kesemua 220 Ahli Parlimen termasuk yang belum divaksin dibenarkan hadir ke Dewan Rakyat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.–AlHijrah Online

Leave a Reply