MORATORIUM: “BERI MAKLUM BALAS KEPADA BANK SEGERA!”

KUALA LUMPUR: Selepas pelbagai kempen, di samping kiriman SMS daripada pihak bank untuk maklum balas berhubung penamatan moratorium hujung bulan ini, hanya 14 peratus daripada pelanggan-pelanggan bank yang tampil berhubung untuk membuat rujukan tentang status moratorium berkenaan.

Pengarah Eksekutif Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), Ratna Sha’erah Kamaludin berkata, faktor sebenar yang menyumbang kepada peratusan sedikit itu masih belum dikenalpasti, namun ia dipercayai berikutan anggapan dan pemikiran peminjam itu sendiri.

“Mungkin pelanggan takut untuk hubungi bank kerana ada yang beranggapan jika mereka tidak mampu membayar balik pinjaman, bank akan mengenakan tindakan seperti mengenakan pembayaran balik 100%, dikenakan tindakan undang-undang serta risau jika bank menarik semula barangan pinjaman tersebut.”

Ratna Sha’erah Kamaludin
Pengarah Eksekutif AIBIM

Menurut Ratna, persepsi sedemikian perlu diperbetulkan kerana saat ini bank menghubungi pelanggan dengan hasrat untuk membantu mereka yang terjejas dan bukan untuk menghukum atau mengugut mereka.” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Alhijrah Online hari ini.

Ratna Sha’erah Kamaludin

Jelasnya, berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah, maklum balas yang diterima bank tidak selari dengan jumlah pelanggan yang benar-benar terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Lebih dua juta peminjam telah dihubungi bank untuk ditawarkan bantuan pembayaran balik setakat 28 Ogos 2020.”

Mohd Shahar Abdullah
Timbalan Menteri Kewangan II

Dalam pada itu, bagi menguar-uarkan penamatan moratorium pada masa sama memberi kesedaran kepada pelanggan bank, AIBIM tampil dengan inisiatif seperti kempen #respondlah dengan slogan ‘Talk To Your Bank Now’ yang disebarkan secara dalam talian.

Kempen itu dijalankan sebagai menunaikan tanggungjawab AIBIM sendiri untuk memberi mesej kepada peminjam untuk menghubungi bank masing-masing dan berkongsi masalah jika berdepan kesulitan untuk membayar semula ansuran pinjaman ataupun sebaliknya.

Ratna Sha’erah juga berharap agar orang ramai turut berkongsi kempen #respondlah kepada keluarga, rakan atau sesiapa sahaja agar semua mendapat manfaat dan sekali gus dapat menaikkan peratusan maklum balas pelanggan kepada bank. – AlHijrah Online / Hanisa Hasanuddin

Leave a Reply