MVM ANJUR KURSUS KAWAL, URUS EMOSI DAN SOKONGAN PSIKOSOSIAL

KUALA LUMPUR: Bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan memahami isu kesihatan mental terutamanya sewaktu situasi pandemik, Muslim Volunteer Malaysia (MVM) bersama Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai (PPPJ) telah menganjurkan kursus ‘Intro To Psychological First Aid’ secara maya pada 26 Jun baru-baru ini.

Kursus yang turut mendapat kerjasama Malaysian Occupational Health Practitioners Association (MOHPA) dan Medicorp ini bertujuan memberi bimbingan kepada sukarelawan, petugas barisan hadapan atau orang awam tentang teknik mengawal dan menguruskan emosi, pemikiran serta sokongan psikososial kepada individu yang memerlukan di kawasan bencana, tempat kerja atau kenalan terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif MVM, Mohd Fauzan Abdul Sukor berkata dua modul digunakan dalam kursus tersebut iaitu pertama ‘Introduction to Psychological First Aid’, teknik mengendali individu dengan krisis emosi dan pemikiran sama ada di medan bencana, tempat kerja atau kenalan terdekat dan kedua, ‘Understanding Stress, Burnout and Self-care’, iaitu mempelajari cara mengendali emosi diri ketika menghadapi tekanan.

“Antara intipati menarik yang dibincangkan adalah berkenaan trauma timeline, iaitu garis masa fasa trauma yang dialami sesetengah individu selepas berlaku tragedi.

“Selain itu, intipati utama lain adalah konsep dan tatacara pengendalian psychological first aid kepada mangsa trauma yang perlu difahami dan diamalkan mengikut kaedah yang tepat,” katanya.

Menurut Mohd Fauzan, melalui kursus yang dianjurkan itu peserta dapat memahami konteks sebenar bagaimana untuk mengendalikan situasi trauma selepas berlakunya bencana.

Malah katanya tidak mustahil, masih ramai yang ‘terlepas pandang’ dan tidak tahu sepenuhnya akan protokol kesihatan di lapangan bencana, lebih-lebih lagi soal kesihatan mental mangsa.

“Kursus ini menyasarkan beberapa kelompok penting sebagai peserta, antaranya petugas barisan hadapan, doktor kesihatan pekerjaan dan jururawat kesihatan pekerjaan; pegawai unit kaunseling dan bimbingan; pelajar jurusan perubatan dan psikologi; pusat bantuan guaman, peguam pro bono; pekerja sektor perkhidmatan perlu; pegawai sumber manusia; ahli jawatankuasa kariah masjid dan surau; penulis blog & rakan media; persatuan dan yayasan kebajikan; sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam.

“Kursus ini telah dijalankan secara maya melalui group Facebook tertutup, Muslim Volunteer Malaysia Volunteers dan Community pada 26 Jun 2021, bermula dari 9 pagi hingga 12 tengah hari dengan kira-kira 200 individu daripada kalangan sukarelawan MVM dan orang awam terlibat dalam kursus ini,” katanya.

Kursus tersebut disampaikan oleh Penasihat PPPJ yang juga psikologis klinikal, Prof Madya Dr. Azlina Wati Nikmat yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang psikologi klinikal. — AlHijrah Online

Leave a Reply