Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

NAFAS BAHARU INSTITUSI MASJID, BERI AUTONOMI KEPADA BELIA

DALAM NEGARA

NAFAS BAHARU INSTITUSI MASJID, BERI AUTONOMI KEPADA BELIA

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyatakan sokongan penuh terhadap syor Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan jawatankuasa khas anak muda di setiap masjid di seluruh negara.

Sumber: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyatakan sokongan penuh terhadap syor Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan jawatankuasa khas anak muda di setiap masjid di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, langkah tersebut bertujuan memberi ruang kepada golongan belia untuk merancang serta melaksanakan program yang mampu memakmurkan masjid sebagai pusat pembangunan ummah.

Menurut beliau, usaha tersebut adalah tepat memandangkan masjid merupakan pusat tarbiah dan pembinaan sahsiah yang perlu diperkasakan sebagai ruang mesra anak muda yang beradab serta inklusif.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan meneliti cadangan penubuhan jawatankuasa khas ini.

“Ia bagi memastikan peranan belia diperkukuh selaras dengan prinsip syariat dalam membentuk pembinaan akhlak generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut mengenai penglibatan golongan itu, Dr. Zulkifli memaklumkan pelbagai inisiatif sedia ada telah dilaksanakan termasuk Program Kariah Madani dan Kuliah Zuhur oleh asatizah muda di Surau Parlimen.

Malah, penglibatan belia akan terus diperluas melalui penganjuran Himpunan Asatizah Muda Kebangsaan (HAMKA) pada Februari ini.

“Himpunan tersebut bakal menghimpunkan seramai 1,000 asatizah muda bagi memperkasakan agenda pembangunan ummah serta penyebaran ilmu yang lebih berimpak kepada masyarakat,” katanya lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas anak muda di masjid bagi memastikan institusi tersebut kekal relevan dan menjadi nadi penggerak aktiviti golongan belia secara lebih tersusun. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading