IPOH: Kegagalan fungsi stereng dipercayai menjadi punca lori membawa muatan pasir merempuh lori Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Sungai Lampam, Simpang Tangki Air, Langkap, dekat Teluk Intan yang mengakibatkan sembilan anggota pasukan itu maut pagi tadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, lori FRU dari Unit 5 yang membawa 18 orang anggota itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh sesudah selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di Hilir Perak.
“Ketika sampai di lokasi kejadian, lori FRU Unit 5 itu dirempuh dari hadapan oleh lori yang membawa muatan batu yang dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng.
“Lapan anggota FRU Unit 5 meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi anggota termasuk pemandu lori maut di Hospital Teluk Intan.
“Lima yang lain cedera parah selain empat orang lagi cedera ringan dan kesemua mereka juga dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan, ” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, polis akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kemalangan jalan raya tersebut.
Katanya, pihak polis juga akan mengambil langkah-langkah sewajarnya termasuk soal kebajikan keluarga anggota yang terkorban.
“Siasatan akan dibuat oleh polis mengikut prosedur operasi standard (SOP).
“Saya yakin keupayaan pihak polis untuk membuat siasatan dan ambil langkah-langkah sewajarnya. KDN ambil berat hal ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Pondok Polis Kampung Beng di Gerik, hari ini.—AlHijrah Online