NEGERI SEMBILAN UMUM SOP MASJID DAN SURAU DALAM WAKTU TERDEKAT

GAMBAR: AFP

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) masjid dan surau dalam waktu terdekat, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata pihaknya kini sedang dalam peringkat memperincikan beberapa perkara dalam SOP tersebut selain menunggu untuk perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.

“Mengenai jarak saf, kami tak tahu lagi keadaannya tapi kami sediakan dua SOP, kami akan pilih yang mana satu. Kalau rapat (saf) ada caranya, bukan rapat macam dulu, kami ada cara kami… mungkin satu sejadah seorang, ia juga digunakan di negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penghargaan pesara pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan 2021 di sebuah hotel di sini hari ini.

Pada 8 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor mengumumkan aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau serta upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam, boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ mulai 1 April ini.

Bagaimanapun Ismail Sabri berkata pelaksanaan dan SOP akhir untuk masjid atau surau tertakluk kepada ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri masing-masing. – AlHijrah Online

Leave a Reply