OP SELAMAT 17: PDRM GUNA ‘IN-CAR RADAR’, ‘iCOPS’

SUNGAI BULOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan pengesan had laju ‘In-Car Radar’ dan Sistem Kompaun Dalam Talian Pintar (iCOPS) bagi mengesan pesalah trafik dalam Op Selamat 17 sempena sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, teknologi julung kali digunakan itu akan membantu kepada operasi penguatkuasaan biasa untuk mengesan kenderaan yang dipandu di lebuh raya melebihi had laju yang ditetapkan.

Katanya, kelengkapan yang dipasang dalam kenderaan peronda lebuh raya (EMPV) itu dapat mengesan kelajuan sesebuah kenderaan dan mengenalpasti individu yang mempunyai saman serta waran tangkap trafik.

“PDRM mempraktikkan tindakan penguatkuasaan secara digitalisasi menggunakan alat kamera pengesanan had laju ‘In-Car Radar’ di sepanjang laluan lebuh raya bagi memastikan pengguna mematuhi had kelajuan.

“Begitu juga iCOPS digunakan bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap trafik, termasuk kenderaan yang terlibat dalam kes jenayah,” katanya ketika merasmikan Op Selamat ke-17 di Restoran Jejantas, Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) di Sungai Buloh hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Azman Ismail, Pengerusi PLUS, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir Mohd Shuhaimi Hassan.

Menurut Razarudin, penguatkuasan secara ‘In-Car Radar’ dan ‘i-COPS’ akan dilaksanakan oleh pasukan Peronda Lebuhraya PDRM yang ditugaskan melakukan rondaan di sepanjang lebuh raya negara termasuk Lebuh raya PLUS.

Mengulas mengenai Op Selamat 17 pula Razarudin berkata, operasi itu akan dilaksanakan bermula Jumaat ini (28 Januari) hingga 6 Februari dengan mengekalkan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’.

“Selepas dua tahun Op Selamat tidak dilaksanakan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Op Selamat kini dilancarkan semula.

“Operasi ini dilaksanakan dengan dua objektif utama iaitu mencegah jenayah pecah rumah dan meminimumkan kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan,” katanya.

Pada masa yang sama beliau meminta orang ramai supaya memaklumkan kepada PDRM perancangan cuti sebelum pulang ke kampung untuk memudahkan tugas pemantauan.

Borang maklumat balik kampung boleh diperoleh di balai berhampiran atau dimuat turun melalui portal rasmi PDRM dan pemakluman juga boleh dibuat dengan menghubungi hotline 999 atau menerusi aplikasi Volunteer Smart Patrol (VSP). – AlHjrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply