PALESTIN GESA MASYARAKAT ANTARABANGSA TEKAN ISRAEL BENARKAN VAKSIN DIHANTAR KE GAZA

RAMALLAH: Israel dilapor ketika ini menyekat penghantaran vaksin COVID-19 ke Semenanjung Gaza.

Oleh itu, Palestin menggesa campur tangan antarabangsa untuk memberi tekanan kepada Israel agar menghentikan tindakan tidak bertanggungjawab itu dan membenarkan penghantaran vaksin COVID-19.

Lapor Bernama, jurucakap kerajaan Palestin, Ibrahim Milhem dalam taklimat media di kota Ramallah di Tebing Barat berkata, tindakan Israel menghalang kemasukan vaksin Covid-19 ke Gaza “melanggar undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan.”

Beliau menggesa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) “mengutuk tindakan Israel dan segera menekan Israel untuk membenarkan penghantaran vaksin ke Semenanjung Gaza.”

Isnin lalu, Menteri Kesihatan Palestin Mai al-Kaila mendakwa Israel menyekat penghantaran kumpulan pertama sebanyak 2,000 dos vaksin Sputnik Rusia ke Semenanjung Gaza.

Dos tersebut untuk kakitangan perubatan di unit rawatan intensif pesakit COVID-19 dan petugas di jabatan kesihatan kecemasan. – AlHijrah Online

Leave a Reply