TANAH RUNTUH DI PASIR MAS, 15 KELUARGA DIPINDAHKAN

PASIR MAS: Sejumlah 15 keluarga melibatkan kira-kira 50 orang penduduk di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas, Kelantan diarahkan mengosongkan kediaman mereka selepas berlaku kejadian tanah runtuh sepanjang 200 meter di tebing Sungai Kelantan.

Runtuhan yang dilaporkan bermula antara jam 2.30 hingga 6.30 pagi itu turut mengakibatkan sebuah rumah runtuh dipercayai akibat terjahan air Sungai Kelantan ke benteng berdekatan kediaman tersebut.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata pihaknya menerima maklumat berlaku rekahan di kawasan itu sejak dua hari lalu namun rekahan terbabit semakin ketara malam tadi.

“Sehingga sekarang masih lagi ada pergerakan tanah dan semua mangsa yang terlibat telah diarahkan untuk berpindah,” katanya ketika ditemui dilokasi kejadi.

Tambah  Mohamad Roy Suhaimi, pihaknya telah mengambil tindakan dengan menutup laluan masuk ke kawasan berisiko sejak petang semalam selepas terdapat kesan rekahan dan mengarahkan penduduk berhampiran mengosongkan rumah masing-masing.

May be an image of road and tree

Tinjauan wakil Berita AlHijrah di Kelantan mendapati, penduduk di kawasan berkenaan sudah mula berpindah dari kawasan itu kerana bimbang keadaan tidak selamat berikutan pergerakan tanah masih berlaku.

Penduduk juga memaklumkan kejadian runtuhan itu pertama kali berlaku sejak mereka menduduki penempatan tersebut lebih 30 tahun lalu.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihak berkuasa. – AlHijrah Online

Leave a Reply