KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) telah mengarahkan Golden Screen Cinemas (GSC) yang merupakan pengedar filem seram terbitan syarikat produksi Indonesia, Sijjin, untuk menarik balik serta membuat penukaran poster yang mengundang kontroversi.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pihaknya sudah berbincang dengan GSC dan mengarahkan untuk membuat penukaran kepada poster lain.
“FINAS ambil maklum tentang isu ini dan kami minta dan mengarah GSC untuk menarik balik serta menukar poster filem ini,” katanya seperti dilapor BH Online.
Arahan tersebut dikeluarkan susulan poster rasmi filem tersebut yang dikeluarkan sebelum ini menyentuh sensitiviti umat Islam apabila memaparkan kalimah ‘Allah’ dalam bahasa Arab pada kain hitam yang membaluti seorang wanita dipercayai sedang dirasuk.
Poster tersebut juga turut menggambarkan beberapa naskah al-Quran yang mengelilingi wanita yang sedang dirasuk.
Poster filem terbitan Rapi Films bersama Sky Media dan Legacy Pictures itu telah mengundang kecaman rakyat Malaysia terutama masyarakat Muslim selepas didakwa tidak sensitif dengan perkara membabitkan agama.–AlHijrah Online