PARAS AIR DI TIGA NEGERI MELEBIHI TAHAP BAHAYA

Gambar fail. Sumber BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tiga stesen kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Pahang, Johor dan Kelantan menunjukkan paras air melebihi tahap bacaan bahaya.

Di Pahang, ia melibatkan stesen Sungai Lipis di Batu Malim dan Raub, manakala Johor pula membabitkan stesen Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat dan di Kelantan di stesen Rantau Panjang serta Pasir Mas.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan cuaca signifikan di seluruh negara semalam tiga hari bermula hari ini.

MetMalaysia turut memaklumkan ribut petir dijangka berlaku petang ini di beberapa kawasan di seluruh negara kecuali Kelantan dan Terengganu yang masing-masing hanya mengalami hujan.

Pada sebelah malam pula, hujan dijangka berlaku di seluruh Semenanjung, Sabah (di Pantai Barat dan Kudat) dan Sarawak (kecuali Miri dan Limbang), manakala ribut petir diramal di Sabah melibatkan Pedalaman, Tawau, Sandakan dan Labuan.

Ribut petir juga diramalkan berlaku pagi esok di Labuan dan Tawau, Sabah, manakala hujan diramalkan di seluruh negara kecuali Perlis, Kedah, Perak, Kuala Lumpur, Putrajaya, Sabah (Sandakan) dan Sarawak (Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Miri dan Limbang).

Petang esok, ribut petir diramal melanda seluruh negara kecuali Kelantan, Terengganu, manakala di Pahang diramalkan hanya hujan.

Pada malam esok pula, hujan dijangka melanda seluruh negara kecuali Perlis, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Sarawak (Sri Aman, Betong, Sarikei dan Sibu) serta Sabah (Tawau dan Kudat).

Pada Selasa, MetMalaysia menjangkakan hujan pada sebelah pagi di Labuan, Terengganu, Pulau Pinang, Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, manakala pada sebelah petang ribut petir dijangka di seluruh negara kecuali Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah (Kudat).

Hujan turut diramal pada waktu malam di Semenanjung kecuali Perlis, Sarawak dan beberapa kawasan di Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Sandakan, Kudat) dan Labuan.–AlHijrah Online

Leave a Reply