PERCUTIAN BERTUKAR TRAGEDI: DUA BERADIK LEMAS KETIKA MANDI-MANDA DI PANTAI CHENANG

ALOR SETAR: Kegembiraan empat pelancong bertukar tragedi apabila dua daripadanya yang merupakan adik-beradik ditemukan lemas ketika bermandi-mandi di Pantai Chenang Langkawi, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari memaklumkan bahawa mangsa yang meninggal dunia ialah R. Yuvaaraj, 22 dan abangnya R. Ravishangkar, 26 serta berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa bersama dua lagi rakan lelaki mereka yang berumur 24 dan 25 tahun datang melancong ke Langkawi pada Jumaat lepas.

“Sebelum kejadian, mereka pergi ke pantai sekitar jam 7 malam untuk mandi-mandi di mana kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakan yang berumur 25 tahun telah turun ke laut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, semasa kejadian, dipercayai ombak besar telah menarik kesemua mangsa ke kawasan yang lebih dalam sehingga menyebabkan ketiga-tiga mangsa terkapai-kapai dan meminta pertolongan.

Bagaimanapun, seorang daripada mangsa berjaya berenang ke arah tepi pantai dan telah mendapatkan bantuan daripada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas di lokasi kejadian.

Manakala dua lagi mangsa tidak berjaya menyelamatkan diri masing-masing.

Mangsa, R. Yuvaaraj berjaya ditemukan pada 9.35 malam manakala abangnya, R. Ravishangkar dijumpai pada pukul 12.40 tengah malam dan kedua-duanya telah disahkan meninggal dunia oleh petugas Hospital Sultanah Maliha (HSM) yang ditugaskan untuk melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.

Kedua-dua mayat dibawa ke HSM untuk proses bedah siasat dan ahli keluarga juga difahamkan telah tiba di Langkawi untuk urusan selanjutnya.–AlHijrah Online

Leave a Reply