Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

PASUKAN MALBATT SELAMAT, KENDERAAN ROSAK DISERANG ORANG AWAM LUBNAN

DALAM NEGARA

PASUKAN MALBATT SELAMAT, KENDERAAN ROSAK DISERANG ORANG AWAM LUBNAN

Kesemua anggota berserta kenderaan telah tiba di Kem Marakah dengan selamat pada 1.39 pagi waktu Malaysia atau 7.39 malam waktu Lubnan, bagaimanapun kedua-dua buah kenderaan mengalami beberapa kerosakan.

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan Anggota Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan yang terlibat dalam satu insiden serangan orang awam di negara berkenaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. 

ATM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kejadian yang berlaku pada Rabu lepas sekitar 11.32 malam waktu Malaysia itu, melibatkan tiga pegawai dan tujuh anggota lain-lain pangkat ketika dalam perjalanan pulang ke Kem Marakah selepas menyelesaikan penugasan perlindungan pasukan (force protection) di Kem Shama, Markas UNIFIL.

“Ketika pasukan berkenaan melalui laluan di Tes Road-Burj Al Qibli di bandar Tyre, satu kesesakan luar biasa berlaku di mana ramai orang awam sedang mengawal lalu lintas dan banyak kenderaan ambulans serta bomba melalui dari kedua-dua arah.

“Secara tiba-tiba, sekumpulan orang awam bertindak agresif dengan cuba memberhentikan kedua-dua buah kenderaan jenis Fitted For Radio (FFR) MALBATT,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa hampir 30 orang awam membaling batu dan memancitkan kesemua tayar kenderaan pasukan menggunakan senjata tajam.

“Bagi mengelak kejadian yang lebih buruk, kedua-dua buah kenderaan telah berhenti di tepi jalan dan kekal berada di dalam kenderaan sehingga Lebanon Armed Forces (LAF) tiba di lokasi untuk mengiringi kedua-dua kenderaan pulang. 

“Kesemua anggota berserta kenderaan telah tiba di Kem Marakah dengan selamat pada 1.39 pagi waktu Malaysia atau 7.39 malam waktu Lubnan, bagaimanapun kedua-dua buah kenderaan mengalami beberapa kerosakan,” menurut kenyataan itu. 

MALBATT 850-11 akan meneruskan rutin tugasan seperti yang ditetapkan oleh UNIFIL, dan semua pihak diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden tersebut yang boleh mencemarkan imej ATM khususnya dan Kementerian Pertahanan amnya.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading